Thursday, September 24, 2009

Pemikiran Prof Zaini Ujang
Syarahan Prof Dr Zaini Ujang, bertajuk Universiti, Kreativiti, Inovasi.
Antara lain mengungkapkan senario semasa yang perlu diubah: "... betapa menjadi pensyarah tidak lagi memerlukan kemantapan intelektual dan kesegaran idealisme terhadap akademia ... Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, 'kegilaan membaca dan menulis' dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting.
"Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah tentang isu-isu pokok yang membabitkan perkembangan isu semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi. Kalaupun ada jarang sekali dianjurkan. Itu pun dengan segala macam syarat dan perkiraan supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. Akhirnya aktiviti kampus yang sepatutnya meriah ilmu menjadi hambar dan lesu ..."
Hubungan kaum di M'sia hanya retorik

Hubungan antara kaum di Malaysia hanya retorik - hanya nampak baik di luar tetapi di dalam tidak baik, kata Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Teo Kok Seong.

“Di negara ini, sifat curiga mencurigai antara kaum yang menjadi masalah,” katanya dalam wawancara dalam Mingguan Malaysia hari ini.
“Saya juga melihat keadaan ini berlaku kerana parti yang berasaskan kaum yang jelas memperjuangkan kaum mereka sahaja dan ini akan mengheret soal lain seperti bahasa dan sebagainya,” tegas beliau lagi.

Menurut beliau, sepatutnya ada satu bahasa pengantar sahaja dan bahasa lain boleh dipelajar tanpa ada masalah.

“Namun kepentingan sistem satu bahasa adalah penting untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum,” tegas Prof Teo.

Katanya, politik yang bersifat perkauman sangat bahaya dalam usaha memupuk perpaduan.

“Sekarang ini kita hanya melihat perpaduan di peringkat luaran dan tidak ada interaksi yang sebenar antara semua kaum.
“Komunikasi antara kaum ini, ada yang hanya bercakap bahasa pasar sahaja, malah ada yang tidak langsung boleh berbahasa Melayu,” tambahnya.

Oleh itu, tegasnya, perlu ada usaha untuk memupuk satu interaksi tulen antara kaum supaya perpaduan yang diperjuangkan selama ini akan berjaya.

Menyentuh mengenai media, Prof Teo berkata semua akhbar vernakular Melayu, Cina dan India bersikap perkauman.


“Ini biasa terutama di negara ini yang penduduknya berbilang kaum. Apabila suratkhabar bersifat perkauman, maka ia akan bersikap membela golongan tertentu dan dari segi berita, banyak berita yang disiarkan pun ke arah golongan tertentu,” katanya.

Prof Teo berkata beliau tidak kisah dicemuh kerana pandangannya itu “kerana beliau mewakili masyarakat Cina yang berfikiran sederhana”.

Ditanya mengenai peranan pemimpin politik dalam memulihkan perpaduan antara kaum, beliau berpandangan mesti ada had dalam politik.
Hegemoni dan Ketuanan Melayu Dalam Politik Malaysia
Isu hegemoni dan ketuanan Melayu dalam politik negara bukanlah satu perkara baru dalam kancah politik negara. Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang mengiktiraf hak keistimewaan serta kepentingan kaum Melayu dalam negara jelas menunjukkan penguasaan politik orang Melayu. Di mana perkara-perkara seperti hak orang Melayu serta kedaulatan Raja-Raja Melayu, peranan Bahasa Melayu serta status agama Islam diberi jaminan dalam perlembagaan. Kaum bukan Melayu pada dasarnya terpaksa menerima perkara-perkara tersebut sebagai ganti bagi mendapatkan hak kerakyatan.
Ini seterusnya membawa kepada satu perjanjian secara tidak rasmi di kalangan pemimpin Melayu dengan pemimpin bukan Melayu. Di mana orang melayu yang mengorbankan hak kerakyatan mereka kepada orang bukan Melayu akan diperakui secara bumiputera yang akan mendapat beberapa keistimewaan dalam perlembagaan. Ia seterusnya membawa kepada satu kontrak sosial yang dilihat saling melengkapi perlembagaan negara dan dilihat sebagai benteng kepada ketuanan Melayu. Di mana ia meletakkan kaum lain di satu kelas yang lebih rendah daripada orang Melayu dan bercanggah dengan perlembagaan negara yang menekankan persamaan hak bagi semua warganegara tanpa diskriminasi terhadap mana-mana bangsa mahupun agama. Malahan konsep ketuanan Melayu dilihat sebagai satu elemen yang berunsur negatif yang melemahkan orang Melayu dan ia bersifat perkauman. Di mana menurut Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ia mencerminkan orang Melayu hanya mahu menjadi ‘tuan’ tanpa mahu berusaha dan bertanggungjawab kepada diri sendiri ( Utusan Malaysia, 4 November. 2008 ). Ini jelas memberi satu gambaran negatif kepada orang Melayu yang dianggap hanya mahu hak-hak tertentu dan penghormatan serta pengiktirafan tetapi tidak mahu berusaha. Pada masa yang sama mereka tidak mampu membuktikan kemampuan diri serta mengelak daripada persaingan secara global dan terus bergantung kepada kerajaan.
Hegemoni orang Melayu menjadi semakin ketara sejurus peristiwa 13 Mei 1969 yang menyaksikan penstrukturan semula politik negara. Perubahan pucuk kepimpinan dari Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak menyaksikan berakhirnya Perikatan dan bermulanya penguasaan orang Melayu ( Vasil, 1980. 187 ). Parti Perikatan yang dipelopori oleh UMNO mengambil kesempatan dari rusuhan kaum yang tercetus untuk menggantung parlimen serta menangguh pilihan raya yang belum selesai. Negara diletakkan dibawah kawalan MAGERAN yang diketuai oleh Tun Abdul Razak telah merombak asas-asas politik negara dengan memberi penekanan terhadap aspak-aspek yang berkaitan kedudukan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam serta Bahasa Melayu. Di mana melalui pindaan perlembagaan tersebut, ia menjadi satu kesalahan dalam menyoal perkara-perkara tersebut. Pada masa yang sama, pindaan turut dilaksanakan ke atas Akta Hasutan dengan meminda Perkara 63 dan 72 dalam Perlembagaan Rang Undang-Undang yang menghapuskan perlindungan ke atas ahli parlimen dan dewan undangan negeri dalam membicarakan isu-isu tersebut dalam dewan ( Nik Abdul Rahsid, 1998. 17). Pada masa yang sama penambahan anggota dalam Perikatan dengan kemasukan parti-parti seperti Gerakan dan PPP ternyata menjejaskan peranan dan kekuatan MCA dan MIC. Ia seolah-olah satu hukuman kepada kedua-dua parti tersebut yang gagal mencapai keputusan yang memberansangkan dalam Pilihan Raya 1969. Di samping itu, penyertaan PAS dalam Barisan Nasional turut memperkukuhkan kuasa serta politik Melayu serta memberi amaran kepada kaum bukan Melayu untuk tidak mencabar kuasa serta ketuanan Melayu.
Syed Hussein Alatas dalam mengulas peristiwa 13 Mei mendakwa Perikatan telah mengeksploitasi kekacauan yang tercetus untuk menekan pembangkang dan menguatkan cengkaman politiknya ( Syed Hussein Alatas. 1972, 271 ). Ia jelas dalam kenyataan Tun Dr. Ismail, Menteri dalam negeri yang mengatakan bahawa ‘amalan demokrasi telah pun berkubur dalam negeri ini dan ia musnah di tangan pembangkang lantaran itu memandangkan demokrasi tidak mampu mengawal kekacauan yang tercetus maka kerajaan terpaksa mengambil alih kuasa untuk memulihkan situasi’ ( Kua. 2007, 105 ). Kelesuan amalan demokrasi negara pada ketika itu amat ketara apabila sebaranag aktiviti politik diharamkan dan penggunaan kuasa tentera serta penyalahgunaan Ordinan Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) bagi mengawal kritikan pembangkang serta menakut-nakutkan rakyat jelata. Seramai 9,114 orang telah ditahan dari 13 Mei sehingga 31 Julai dan 5,561 telah didakwa di mahkamah ( Leon Comber. 1983, 71 ). Antara pemimpin pembangkang yang ditahan termasuklah Lim Kit Siang yang menyifatkan penahanannya sebagai sebahagian daripada reaksi anti demokratik yang bertentangan dengan keputusan rakyat jelata ( DAP. 1981, 33 ).
Kebebasan media massa turut terjejas apabila kawalan yang ketat diperkenalkan dan majalah-majalah asing seperti Far Easter Economic Review, Time dan Newsweek diharamkan ( John. Funston. 1980, 213 ).
Kua Kia Soong ( 2007 ) dalam penulisan 13 May mendakwa tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu konspirasi terancang di kalangan pemimpin elit dalam UMNO yang bertujuan untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman. Beliau turut persoalkan tindak-tanduk pasukan keselamatan dalam mengawal situasi semasa rusuhan dan masa yang diambil bagi menghentikan keganasan di mana kebanyakkan mangsa terdiri daripada kaum Cina ( Kua. 2007, 109 ). Lantaran itu, peristiwa 13 Mei 1969 yang menyaksikan penstrukturan semula parti Perikatan dan pengenalan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB ) dilihat sebagai titik tolak kepada hegemoni politik Melayu di Malaysia. Sia Keng Yek (1997 ) dalam penyelidikannya ‘Hua Tuan dan Perkembangan Politik Malaysia: Satu Kajian Tentang Asal Usul Perkembangan Gagasan Dua Barisan (1969-1995)’ telah membicarakan peranan pertubuhan Cina dalam perjuangkan serta melindungi kepentingan komuniti Tiong Hua yang terjejas selepas rombakan dalam kerajaan pimpinan Tun Abdul Razak. Di mana ketidak puasan hati masyarakat Cina telah mendorong kepada pembentukan National Civil Right Committee yang menjadi penggerak kepada pembentukan barisan pembangkang yang berjaya membentuk barisan alternatif kepada Barisan Nasional. Ia telah menyaksikan penglibatan pemimpin-pemimpin dalam pertubuhan Cina seperti Kua Kia Soong, Lim Fong Seng, Lee Ban Chen, Wu Wei Xiang, Yang Pei Keng dan Ngeow Yin Ngee menyertai DAP.
Polemik hegemoni serta ketuanan Melayu menjadi semakin menarik selepas Tsunami 8 Mac 2008 yang menyaksikan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan Barisan Nasional buat julung-julung kali gagal mendapat majoriti 2/3 dalam parlimen. Kee Thuan Chye ( 2008 ) dalam bukunya March 8 The Day Malaysia Woke Up berpendapat bahawa 8 Mac 2008 merupakan titik tolak kepada perubahan drastik dalam politik negara. Di mana para pengundi berjaya keluar dari bayangan perkauman dalam usaha mewujudkan satu negara yang lebih baik. Ia jelas satu tamparan hebat kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang dilihat gagal merealisasikan janji-janjinya serta acap kali mengecewakan rakyat dengan tindak-tanduknya yang tidak popular. Kegagalan kerajaan bertindak dengan bijak semasa berhadapan dengan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat majmuk serta ketelusan dan kecekapan dalam pentadbiran turut menyumbang kepada kekalahan besar Barisan Nasional. Para pengundi muda dilihat kurang memberi penekanan kepada faktor perkauman sebaliknya menekankan kemampuan kerajaan menjana ekonomi negara, kecekapan serta ketelusan jentera pentabdiran, aspek keselamatan dalam negeri dan isu-isu hak asasi manusia.
Kejayaan DAP dan PKR dalam pilihan raya 2008 jelas mengundang kegelisahan di kalangan segelintir pemimpin Melayu terutamanya UMNO. Di mana kehadiran ramai ahli parlimen mahupun ADUN bukan Melayu secara drastik dilihat sebagai ancaman kepada hegemoni politik Melayu. DAP yang memenangi 28 kerusi parlimen dan 73 kerusi DUN berjaya menguasai Pulau Pinang dan menempatkan ramai ADUN di Selangor dan Perak. Dominasi DAP di Pulau Pinang begitu ketara apabila ia membolot 7 daripada 10 kerusi exco negeri dan ia tidak termasuk jawatan ketua menteri yang dijawat oleh Lim Guan Eng di samping jawatan timbalan ketua menteri dua yang diisi oleh Dr. Ramasamy (The Rocket. April/May, 2008). Di samping itu, DAP turut menampakkan taringnya di Perak dan Selangor apabila ia berjaya menguasai beberapa jawatan dalam exco negeri Pakatan Rakyat. Di Perak, DAP menempatkan 6 exconya yang dipimpinan oleh gabungan Ngeh-Nga di samping jawatan speaker yang disandang oleh V. Sivakumar dan Hee Yit Feng ADUN Jelapang sebagai timbalannya. Situasi yang hamper sama berlakua di Selangor apabila Teressa Kok dilantik sebagai exco kanan dan Teng Chang Kim sebagai speaker negeri tersebut. PKR yang diasaskan sebagai sebuah parti berbilang kaum tutur menyaksikan kewujudan ramai calon bukan Melayu di Perak dan Selangor. Di Perak, ia mempunyai tiga exco termasuklah Sivanesan, Tai Sing Ng dan Chen Fook Chye manakala di Selangor, PKR menonjolkan dua calonnya Dr. Xavier dan Elizabeth Wong.
Senario ini jelas menimbulkan tanda tanya tentang masa hadapan politik serta hak keistimewaan orang Melayu di Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat yang pada dasarnya dikuasai oleh pemimpin bukan Melayu. Ia jelas dalam kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz yang berpendapat keputusan pilihan raya 2008 merupakan petanda awal berakhirnya DEB dan terhakisnya hak keistimewaan orang Melayu ( The Star. 14 Mac, 2008 ).
Ini kerana pola pengundian generasi baru khususnya golongan berpendidikan tinggi tidak lagi melihat perlunya wujud sebarang perbezaan mahupun keistimewaan bagi mana-mana pihak sebaliknya ingin bersaing secara terbuka dan berdasarkan kemampuan sendiri.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam mengulas dasar baru kerajaan Pulau Pinang menekankan kepada konsep ketelusan dalam pentadbirannya. Beliau berpendapat dasar DEB yang bergelumbang dengan penyelewengan kuasa serta kroni menyumbang kepada amalan rasuah bakal ditamatkan dan diganti dengan system yang lebih telus. Kenyataan tersebut telah menimbulkan bantahan dari pemimpin-pemimpin UMNO serta badan-badan NGO Melayu. Malah satu siri tunjuk perasaan turut dianjurkan di sekitar Komtar bagi membantah kenyataan Setiausaha Agung DAP tersebut. Para penunjuk perasaan telah berarak selepas sembahyang Jumaat dan bergerak ke arah Jalan Dr Lim Chwee sambil melaung-laungkan bantahan mereka. Ia telah diserta para pemimpin UMNO Pulau Pinang dan Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir menegaskan UMNO Pulau Pinang akan menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas sebagai protes terhadap kenyataan Menteri Pulau Pinang yang didakwa mencetuskan kemarahan orang Melayu ( The Star. 15 Mei, 2008 ).
Namun begitu, saranan Lim Guan Eng mendapat sokongan dari pemimpin Pakatan Rakyat yang sependapat bahawa DEB telah gagal pada dasarnya kerana ia tidak memenuhi aspirasinya iaitu mengagih kekayaan negara tanpa mengira kaum. Kelemahan dari pelaksanaan telah mengakibatkan pelbagai penyelewengan yang berlaku dan bantuan yang sepatutnya disalurkan gagal dimanfaatkan oleh golongan sasaran. DEB hanya berjaya memperkayakan golongan tertentu yang mempunyai kepentingan politik dalam kerajaan. Lantaran itu, satu mekanisme yamg baru perlu diperkenalkan agar semua kaum mampu memperoleh hasilnya. Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika membahas usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong menyatakan bahawa DEB harus diganti dengan struktur yang lebih adil dan bermakna kepada Bumiputera serta rakyat. Di mana pendekatan baru tersebut harus mengambil kira kepentingan kaum Cina dan India yang termiskin serta terpinggir. Ia bagi memastikan pengagihan manfaat ekonomi sampai ke peringkat akar umbi ( Berita Harian. 6 Mei, 2008 ). Dalam mengulas isu yang sama, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Hasan berpendapat dasar DAP tidak akan menjejaskan orang Melayu. Ini kerana dasar murni DEB untuk menyusun semula masyarakat gagal mencapai objektifnya. Oleh demikian, Pakatan Rakyat akan memperkenalkan dasar yang berlandaskan konsep ‘negara kebajikan’ dengan mengekalkan beberapa ciri DEB yang positif dalam usaha menjamin kehidupan rakyat jeata ( The Star. 15 March, 2008 ). Datuk Seri Anwar Ibrahim pula telah menyarankan Agenda Ekonomi Malaysia ( AEM ) bagi menggantikan DEB yang dilihatnya bukan sahaja gagal membela nasib orang Melayu tetapi turut menafikan hak kaum yang lain.
Isu DEB semakin rancak apabila Datuk Chua Jui Ming, bekas Menteri Kesihatan turut menggesa agar DEB dihapuskan demi keadilan semua kaum. Walaupun ia dilihat tidak lebih daripada gimik politik tetapi saranan tersebut mendapat dokongan daripada MCA dan MIC. Dalam mengulas isu tersebut, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Jui Meng takut dengan bayang-bayangnya sendiri dan tiada idea baru sehingga terpaksa mengunakan taktik yang sama digunakan oleh DAP bagi meraih sokongan perwakilan. Ini kerana pada masa sekarang, isu berbentuk perkauman tidak begitu disukai oleh orang ramai, jadi menggunakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai cara untuk meraih sokongan tidak lagi relevan dan ia merupakan satu taktik lapuk. Beliau turut menasihati Datuk Chua untuk memberi idea bagaimana cara membantu masyarakat Cina untuk maju dan membasmi kemiskinan di kalangan kaum tersebut dan bukannya menghentam kaum lain ( Utusan Malaysia. 29 Sepptember 2008).
Kerancakan isu hegemoni dan ketuanan Melayu dalam politik Malaysia seolah-olah tidak ada penghujungnya apabila Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan 10 peratus daripada jumlah kuota pelajar UITM dibuka kepada bukan bumiputera dengan tujuan mempertingkatkan kualiti pendidikan dan menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan pelajar IPT terutamanya UITM ( Utusan Malaysia. 11 Ogos, 2008 ). Pada dasarnya saranan tersebut sememangnya satu usaha yang baik dan membina kea rah mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang adil serta progresif. Pada masa yang sama, ia turut mamapu mempertingkatkan integrasi serta kerjasama di kalangan pelajar IPT yang berbilang kaum. Malangnya saranan tersebut dilakukan ketika suasana politik negara yang masih belum pulih dari Tsunami 8 Mac. Lantaran itu, ia dijadikan wadah politik oleh segelintir pemimpin UMNO dalam usaha untuk memulihkan imej parti yang tercalar dan juga sebagai modal untuk menonjolkan diri menjelang perhimpunan agung UMNO. Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengecam Tan Sri Abdul Khalid sebagai pemimpin yang tidak sensitive serta mengabaikan perlembagaan. Malah beliau turut mempertikaikan keikhlasan PKR perjuangkan nasib orang Melayu ( Utusan Malaysia. 11 Ogos, 2008 ). Isu ini turut mendapat perhatian Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri khaled Nordin yang menyelar Tan Sri Abdul Khalid kerana menghina orang Melayu dan UITM dengan menggadai hak keistimewaan orang Melayu semata-mata untuk mendapat sokongan masyarakat bukan Melayu ( Utusan Malaysia. 12 Ogos, 2008 ).
Kekalutan serta pertelingkahan yang berterusan tentang hegemoni politik Melayu serta konsep ketuanan Melayu menjadi semakin hangat menjelang pilihan raya semula Parlimen Permatang Pauh sejurus perletakan jawatan Datin Seri Wan Azizzah untuk memberi haluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam kerancakan berkempen, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail mencetuskan kontroversi apabila belaiu didakwa mengeluarkan kenyataan yang bersifat perkuaman serta mempertikaikan hak masyarakat Cina. Ia menimbulkan bantahan besar-besaran di kalangan parti-parti politik berorentasi Cina termasuklah komponen Barisan Nasional. Ia memaksa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon maaf bagi pihak UMNO walaupun Datuk Ahmad Ismail enggan berbuat demikian. Hubungan di kalangan komponen Barisan Nasional turut terjejas lantaran daripada insiden tersebut di mana MCA dan Gerakan yang tidak berpuas hati dengan tindakan pemimpin UMNO tersebut mendesak tindakan displin dikenakan ke atas pemimpin berkenaan. Akhirnya UMNO terpaksa tunduk dengan tekanan komponen dalam Barisan Nasional dan mennyaksikan Datuk Ahmad Ismail dijadikan ‘kambing hitam’ dalam percaturan politik UMNO yang semakin lesu lantaran kegagalannya ia menawan semula Kelantan dan berputih mata di Kedah, Selangor dan Perak.
Pilihan Raya Mac 2008 telah mencoret lembaran sejarah yang baru dalam politik . Ia memperlihatkan satu pola baru dalam pengundian para pengundi khususnya pengundi muda di kawasan bandar. Pertimbangan yang berasaskan perkauman tidak lagi menjadi keutamaan sebaliknya isu yang bersifat nasional, hak asasi manusia serta kecekapan dalam pentadbiran dijadikan asas dalam memilih perwakilan di parlimen mahupun negeri. Ia telah menyaksikan penolakkan parti Barisan Nasional yang telah menerajui negara sejak 51 tahun dahulu dan kekalahan di lima buah negeri tidak termasuk Wilayah Persekutuan merupakan amaran yang perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan yang kehilangan majority 2/3 kerusi parlimen buat julung-julung kali dalam sejarah negara. Isu hegemoni politik serta ketuanan Melayu turut semakin menarik berikutan suara-suara sumbang yang semakin lantang mendesak ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang lebih adil dan telus dilakukan dalam usaha merealisasikan pembentukan negara bangsa di Malaysia.