Wednesday, May 20, 2009

Paradoks dan retorik dalam takrif kualiti..?
Apabila kita memperkatakan tentang kualiti sebenarnya kita bercakap tentang kecemerlangan kerja, ketinggian sumbangan dan kepentingan serta kesempurnaan sesuatu kerja yang dilakukan. Dari perspektif ‘Pengurusan Berkualiti,Tuhan merupakan penguasa dan berkuasa mengatur perjalanan hidup manusia, namun kedudukan manusia yang lebih mulia, lebih tinggi darjat dan berupaya maka manusia telah diberi tugas sebagai khalifah untuk mentadbir dan memakmurkan bumi. Lantas manusia menerima amanah untuk menjalankan tugas tersebut. Ini bermaksud manusia mempunyai keupayaan yang berkualiti untuk melaksanakan setiap perintah yang diberikan Tuhan dan keupayaan ini diperakukan oleh Tuhan. Lantaran untuk melaksanakan kesempurnaan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab ini mestilah bermula dengan keikhlasan melaksanakan tanggungjawab yang dipikul. Niat yang ikhlas merupakan pintu kepada keupayaan membawa perubahan dalam pekerjaan dan sebagai pekerja kita mesti sentiasa berfikir mencari jalan penambahbaikan dan keberkesanan kerja yang dilakukan. Semua ini mampu dilakukan jika pekerja berjaya membina keunggulan diri yang berkualiti. Keunggulan ini dapat diukur melalui:
i-Pemikiran yang berkualiti
ii-Sikap yang berkualiti.
iii-Tindakan yang berkualiti,
iv-Jiwa yang berkualiti
Keempat-empat elemen kualiti diri akan mampu menjana kebijaksanaan untuk merancang, menyusun atur, memimpin dan mengawal individu atau sekumpulan individu bagi mencapai apa-apa yang diinginkan atau apa-apa yang telah ditentukan bersama. Akhirnya proses membina kualiti diri akan mengarah kepada satu gagasan menyeluruh tentang hubungan manusia dan alam seluruhnya dengan Penciptanya yang akhirnya membentuk pula kepada matlamat membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kesempurnaan hidup.
Pembinaan kualiti diri, kualiti kerja, kualiti pengurusan, kualiti jabatan bukanlah satu program semasa, berkala atau jangka pendek tetapi merupakan satu proses yang berterusan dan saling ubah-mengubah. Proses ini akan sentiasa diperbaik mengikut keperluan semasa dan matlamat organisasi. Oleh itu penjanaan kualiti mesti diterap dan diserap dalam pemikiran dan sanubari setiap pekerja. Akhirnya kita mampu berbudaya kualiti setelah terbina satu corak kehidupan bekerja yang sentiasa meletakkan kepentingan dan keperluan kualiti dalam setiap tindakan dan perancangan. Perancangan bersama-sama dalam membentuk budaya kerja yang sebegini perlukan kepada gabungan seluruh anggota organisasi. Tidak ada yang berkecuali. Ini penting kerana sumbangan setiap peringkat akan memastikan kejayaan yang lebih bermakna akan dapat dicapai. Tindakan bersama dalam setiap peringkat bermakna setiap pekerja akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab bersama secara bersama-sama demi mencapai matlamat bersama yang telah ditetapkan. Kejayaan bersama akan menjadi kejayaan organisasi dan mesti pula diiktiraf dan dinikmati bersama-sama.
Kembali kepada kecemerlangan, ketinggian, kepentingan dan kesempurnaan kerja yang disebutkan tadi perlu diasaskan kepada konteks nilai yang berikut:
Kualiti dalam konteks nilai.
Kualiti nilai merujuk kepada perlakuan manusia yang dihubungkan dengan aspek kesedaran Ketuhanan iaitu melakukan sesuatu pekerjaan dengan kesedaran bahawa Tuhan memerhatikan segala perlakuan manusia sama ada secara tersembunyi atau terang-terangan. Keyakinan yang tertanam kukuh akan dapat memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan dalam apa jua bentuk dan akhirnya kita dapat mengembalikan hak masyarakat melalui sumbangan dan peranan yang kita laksanakan. Kekuatan nilai ini akan mampu meletakkan organisasi kita sebagai organisasi yang diperakui keesahan dalam melaksanakan tugas.
Kualiti dalam konteks perbuatan.
Kualiti perbuatan merujuk kepada 'do first time right' atau 'do the right thing for the right time'. Kelaziman melakukan sesuatu kerja dengan terbaik atau sempurna akan memastikan tidak ada kecairan masa, tenaga dan wang yang dilakukan. Kesempurnaan melakukan tanggungjawab dan tugasan yang diamanahkan akan menjadi sumber utama penilaian masyarakat akan peranan organisasi kita. Memang diakui bahawa manusia tidak sempurna, namun ketirisan yang berlaku itu dapat diatasi melalui kerja pasukan yang mantap. Sikap saling membantu ini akan mampu menutup sebarang kesilapan luar jangka yang mungkin akan berlaku. Kemantapan inilah akhirnya menghasilkan kerja yang berkualiti dan mendapat hasil kerja yang berkualiti.
Kualiti dalam konteks manfaat
Kualiti manfaat merupakan tingkat akhir yang perlu diberi perhatian. Nilai yang di amal, perbuatan yang dilakukan akhirnya memberikan manfaat menyeluruh kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Tidak wujud sama-sekali manfaat yang sia-sia jika sekiranya manfaat menyeluruh ini difikirkan sebelum melaksanakan sesuatu agenda. Manfaat diri seperti kepuasan rohani kerana kejayaan melakukan tugas, manfaat keluarga seperti kejayaan anak-anak kerana kita memberikan rezeki yang halal, manfaat masyarakat seperti berlakunya anjakan sikap kerana kita berjaya mengubah sesuatu keadaan dan manfaat negara seperti mencapai pendidikan mencapai taraf dunia apabila kita berjaya melaksanakan sesuatu dasar. Manfaat yang berpanjangan ini akan memberikan kita rahmat dalam hidup dan selepas hidup. Kualiti dalam manfaat akhirnya memastikan kesejahteraan dan keharmonian hidup dapat dilangsungkan secara adil dan saksama.
Memaknakan kualiti dalam hidup dan kerja harian kita bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak semudah yang diperkatakan. Namun apakah kita harus mengalah dengan kesongsangan tanggapan terhadap kualiti yang perlu kita jana setiap hari? Persoalan ini hanya akan mampu dijawab jika kita menjadikan jiwa kualiti itu hidup dalam diri dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
Walau bagaimana pun takrif atau definisi kualiti masih bersifat subjektif. Ini adalah kerana kualiti diukur berasaskan nilai. Nilai yang menjadi mekanisme pengukuran kualiti inilah selalunya terdedah kepada eksploitasi dan manipulasi secara arbitrari.
Apa yang jelas isu-isu ketidakcekapan, ketiadaaan manual dan amalan operasi, masalah rasuah, akhlak kerja yang lemah dan sebagainya merupakan unsur yang sering diutarakan apabila membincangkan tentang kualiti. Sebenarnya, kepentingan kualiti dan mutu kerja yang baik telah wujud dalam pandangan hidup Islam sejak berabad lamanya. Seperti pemikir Barat, pandangan hidup Islam turut mengakui kepentingan mutu dalam semua kegiatan harian manusia. Cuma apa yang membezakan antara keduanya ialah dari sudut bagaimana ia digunapakai. Faham Barat hanya mengaitkan mutu dari sudut kebendaan semata-mata. Akan tetapi pandangan hidup Islam melihatnya dari sudut yang lebih luas di mana ia merangkumi sudut kebendaan dan kerohanian.
Tetapi berapa ramai di antara kita sedar bahawa unsur mutu dan piawaian ini ada dalam setiap suruhan Allah s.w.t. Ibadat solat, puasa, haji dan sebagainya perlu dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat dan keperluan-keperluan yang tertentu. Kegagalan untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan akan hanya mensia-siakan amalan yang dilakukan.
Hakikatnya kita gagal untuk memahami falsafah yang terkandung dalam setiap suruhan agama untuk urusan harian kita yang lain. Maka wujudlah satu ketidakseimbangan yang menyebabkan agama Islam dilihat sebagai satu agama yang hanya mementingkan upacara-upacara yang berbentuk kerohanian semata-mata. Manakala umat Islam pula dari segi urusan keduniaan dilihat sebagai satu umat yang mundur dan terkebelakang dalam segala segi kehidupan baik dalam bidang ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan sebagainya.
Dalam pandangan hidup Islam, semua kegiatan adalah ibadat. Dalam hal ini, pandangan ini boleh digunapakai dalam bidang-bidang ekonomi, pengurusan, pendidikan dan sebagainya. Oleh yang demikian, sesiapa yang bekerja bersungguh-sungguh dan penuh ketekunan sehingga ia mampu menghasilkan sesuatu yang bermutu dan bermanfaat kepada masyarakat umum, maka ia sebenarnya telah menyumbang kepada kebaikan ummah dan akan diberi ganjaran yang sewajarnya oleh Allah s.w.t.

No comments: