Saturday, November 27, 2010

Kenapa PKR menghadapi masalah yang sama seperti UMNO

Seperti yang pernah saya cakap dulu, yang bermakna saya mengulang-ulang pula, struktur PKR seakan struktur UMNO. Jawatan dalam parti dan fungsinya adalah sama seperti UMNO. PKR semacam salinan karbon UMNO.

Saya pernah memperkatakan tentang hal ni sebelum ni dan saya akan memperkatakannya lagi. PKR harus keluar dari acuan UMNO. Struktur dan fungsinya tidak boleh sama seperti UMNO. Berfikirlah di luar kotak. Lakukanlah pembaharuan.

Salah satu isu yang perlu ditangani adalah kepemimpinan atasan parti. Mengapa perlu ada presiden, timbalan presiden, 3 - 7 naib presiden, pemimpin pemuda, pemimpin sayap wanita dan lain-lain lagi?

PKR harus mempertimbangkan bagi meminda perlembagaan dan mengubah strukturnya. Hapuskan struktur seakan UMNO tu. Misalnya, hapuskan semua jawatan tertinggi parti tu. Tak perlulah ada timbalan presiden, 3 - 7 naib presiden, pemimpin pemuda, pemimpin sayap wanita dan lain-lain lagi. Cukuplah dengan hanya dua jawatan. Pertama, pemimpin parti, dan kedua, presiden parti.


Pemimpin parti akan menguruskan politik kepartian. Jika parti berjaya membentuk kerajaan persekutuan, maka pemimpin partilah yang menjadi perdana menteri. Presiden parti pula menguruskan segala urusan kepartian, termasuklah urusan pentadbiran.

Jawatan pemimpin parti dan presiden parti adalah jawatan yang dipertandingkan. Tetapi hanya dua jawatan ni yang dipertandingkan. Kemudian, pemimpin parti dan presiden parti mewujudkan pasukan masing-masing. Tempoh bagi setiap seorang hanyalah selama dua tahun sebelum pemilihan baru dijalankan. Pemilihan bagi pemimpin parti dan presiden parti pula dilangsungkan secara bergantian, iaitu kedua-dua jawatan tidak akan dipertandingkan pada tahun yang sama.

Jawatan lain pula tidak dipertandingkan. Cara ini membolehkan anggota parti memilih pemimpin parti dan presiden parti, dan menyerahkan kepada kedua-dua pemimpin itu bagi melantik ahli pasukan mereka. Jadi, tidak akan ada perebutan bagi mendapatkan jawatan yang begitu banyak, seperti yang berlaku sekarang.

Oleh sebab struktur PKR adalah seperti UMNO, maka ia juga mengalami penyakit yang dialami oleh UMNO. Disebabkan itulah pemilihan parti menjadi lebih penting daripada pilihanraya umum. Ini juga bermakna bahawa ahli/pemimpin parti mereka sendiri dianggap sebagai musuh yang lebih berbahaya daripada pihak lawan - dalam hal ini, UMNO dan Barisan Nasional.

Hari ni, itulah saja yang ingin saya katakan. Jika struktur PKR tidak seperti UMNO, maka ia tidak akan menghadapi masalah yang juga dihadapi oleh UMNO.

Saya ulangi... cukuplah dengan hanya satu pemimpin. Tak perlulah ramai-ramai seperti dalam UMNO. Biarlah presiden menguruskan parti, sementara pemimpin parti pula menguruskan aspek politiknya, termasuklah strategi dan kempen yang berkaitan.

sumber asal:
NO HOLDS BARRED
Raja Petra Kamarudin
Translated by: Si Manis Amni

No comments: